Sunday, June 27, 2010

AKU HANYA INSAN BIASA

“Carl akan cuba sayang Kiera seperti mana Kiera sayangkan Carl, bagi Carl masa”, luluh hatiku tatkala bait-bait ayat tersebut keluar dari mulut Carl. Apakah selama ini hanya aku yang terlebih sayang padanya, tetapi dia tidak begitu.’CUBA’, ini bererti Carl perlukan lebih banyak masa untuk menyayangiku. Dia tidak menyayangiku kerana ianya memang terbit dari jiwa, tetapi kerana telah mencuba. Aku tetap menyayanginya meskipun kadang kala air jernih tumpah dari mataku bila mengingatkan apa yang telah berlaku. Perlukah aku terus menyayangi insan yang selama ini seakan tidak nampak kehadiranku? Dan memberi pada yang lebih menghargai aku? Di mana silapnya aku?

Aku pernah katakan padanya, “seandainya Carl bertemu dengan orang lain yang lebih Carl perlukan dalam hidup Carl, tolong beritahu pada Kiera sebab Kiera tak mahu Carl menipu diri sendiri dan terus melukai hati Kiera”. Tapi semua itu hanya sekadar kata-kata yang tak bermakna bagi Carl. Selama bertahun aku hidup bertemankan cerita rekaanya.Bila semuanya terbongkar, dia hanya mampu berkata “Carl tak beritahu kat Kiera sebab Carl tak nak Kiera terluka”. Luka yang telah lama berparut akhirnya berdarah kembali. Aku sangka panas sampai ke petang, tapi rupanya ribut sekali lagi melanda. Sekali lagi aku berjaya membongkar segalanya, bila Carl bengang dengan tindakan aku kerana menghubungi insan ketiga tersebut, Carl telah menyakitkan hatiku dengan ayat yang amat menyedihkan aku,”BOTH OF YOU CAN GET OUT FROM MY LIFE!”.

Sejak hari itu aku tekad untuk melupakan Carl, aku buang segala catatan yang ku tulis dalam diariku berkenaan Carl, gambar yang diberikannya padaku sewaktu menuntut di kolej 3 tahun lalu dan kad hari lahir yang dihadiahkannya padaku, tetapi kenangan indah bersamanya tidak dapat aku buang bersama. Seminggu selepas itu, aku tetap berhubung dengan Carl seperti biasa, lantaran kerana aku telah terbiasa dengannya dan selepas dia meminta maaf kerana dia tidak berniat untuk berkata begitu kepadaku. Kami meneruskan hubungan seperti biasa, dan aku mengetahui bahawa aku telah ‘dimadukan’ walaupun Carl tidak berkata apa-apa. Aku terima dengan apa yang telah berlaku, kerana aku yakin bahawa satu hari semua itu akan berubah.

Sejak Carl mula berterus terang dengan ku tentang hubungannya dengan insan tersebut, dia seringkali menceritakan tentang masalahnya dengan insan itu. Pada suatu malam, aku menerima sms darinya,”kami dah putus”. Aku tidak terkejut dengan sms itu kerana itu bukan kali pertama dia mengatakan hal sebegitu kepadaku. Aku hanya sekadar membalas “alah,yelah tu,lepas tu sambung balik”. Namun dia menidakkan perkara tersebut dan menyatakan bahawa keputusan kali ini adalah muktamad. Aku ada bertanya mengapa semua itu berlaku, Carl pun menceritakan bahawa insan tersebut telah berkenalan dengan seseorang yang lain dan tidak dapat membuat keputusan untuk memilih siapa,dan akhirnya dia melepaskan insan tersebut untuk pergi kepada lelaki lain.

Selepas kejadian itu, hubungan kami seperti biasa, tiada apa yang berubah. Cuma kadang-kadang aku terfikir, adakah apa yang berlaku itu juga berpunca dariku? Aku tekad untuk melupakan cerita sedih antara aku dan dia. Tapi aku hanya manusia biasa yang tak mampu untuk memadamkan semua coretan luka dalam kotak hidupku. Apa yang aku mahukan sekarang ialah melayari hidup yang lebih baik bersama orang-orang yang aku sayangi dan mereka yang menyayangi diriku tanpa perlu untuk aku menangisi kekecewaan dan kedukaan.
Kini selepas lima tahun perhubungan kami terjalin, aku sedar tidak semua yang diinginkan akan menjadi milik aku, aku juga sedar setiap insan di dunia ini telah pun dijanjikan pasangan hidupnya masing-masing. Cuma kita perlu terus mencari, bersabar, usaha dan redha dengan apa yang bakal berlaku nanti.INSYA’ALLAH..

No comments: