Saturday, July 24, 2010

CORETAN SERIBU MUSIM

Aku sering kali tersenyum sendirian apabila terkenang kenangan indah bersama teman-temanku, satu kenangan yang teramat indah yang tak akan aku lupakan. Ada beberapa peristiwa yang masih jelas diingatanku yang pernah berlaku satu ketika dulu di alam persekolahan. Aku tidak memasuki tadika seperti budak-budak yang lain, tetapi aku tumpang masuk ke kelas darjah satu sewaktu usiaku enam tahun, ini kerana ayah merupakan seorang guru sekolah dan aku diberi kebenaran untuk masuk ke kelas darjah satu selama setahun. Bila usiaku tujuh tahun, aku secara rasminya merupakan murid darjah satu sekali lagi.

Tahun 1995-2000


Sewaktu aku di bangku sekolah rendah, aku tidak begitu mengingati kawan-kawan sewaktu di darjah satu. Tapi semasa aku menjadi pelajar tumpangan di kelas 1 Kuning, aku ingat beberapa nama yang seingatku mereka juga di kelas yang sama. Syazwan, budak yang agak nakal di kelas kami dan selalu mengusikku dan Amir.
 
Sewaktu aku dalam darjah dua, aku dihantar untuk bersekolah di sekolah yang berhampiran dengan tempat ayahku bekerja,ini kerana di sekolah tempat ayaa bekerja, sesi persekolah untuk darjah dua di sebelah petang. Ini menyukarkan aku untuk berulang alik dari sekolah. Beberapa bulan selepas itu, aku berpindah ke sekolah yang lain kerana ayah ditukarkan ke sekolah tersebut, aku memulakan sesi persekolah darjah dua di sekolah tersebut dengan rakan-rakan yang baru. Aku seperti ingat-ingat lupa akan nama-nama rakan kelasku. Tapi ada beberapa orang yang aku masih ingat, Atiyah dan Shireen. Yang lainnya aku agak kabur tentang kewujudan mereka.

Sehingga aku di darjah lima, aku masih ingat dengan jelas mereka yang pernah rapat denganku.Nurul Fitriah, Najihah, Lina Syamimi, Hashimah, Izzati, dan termasuk budak lelaki yang pernah digosip bersama aku, Irfan. Apabila naik darjah enam, aku terpaksa ditukarkan kelas kerana keputusan peperiksaan akhir tahunku yang tidak begitu baik. Di sini aku mula mempunyai kawan baru, Syarina, Sheda dan Amanina Fatin.

Tahun 2001-2005

Selepas tamat sekolah rendah, dengan keputusan upsr yang agar baik, aku mendapat tawaran untuk masuk ke kelas aliran arab di sebuah sekolah menengah, ketika itu aku masih lagi berkawan dengan Syarina kerana kami berada dalam kelas yang sama, bersama-sama dengan Izzati dan Juwani yang telah pun aku kenali sejak di bangku sekolah rendah. Kami lebih banyak menghabiskan masa bersama, makan bersama, masuk persatuan dan kelab yang sama. Kemudian ahli kami bertambah, Seha yang merupakan sepupu Izzati bertukar ke sekolah kami, dan sejak itu kami berempat sangat akrab.

Sewaktu di tingkatan empat dan lima, kami berempat terpaksa berpisah kerana perbezaan keputusan peperiksaan PMR masing-masing. Izzati mendapat tawaran ke MRSM, manakala Juwani ke kelas Sains 1, Seha ke kelas Sains 2, dan aku ke kelas Sains 3. Namun aku tidak begitu kekok, kerana ada juga rakan sekelas sewaktu tingkatan 3 juga berada di kelas yang sama bersamaku.

Walaupun berlainan kelas dengan Juwani dan Seha, kami akan ke kantin dan makan bersama-sama pada waktu rehat. Kami juga memilih persatuan dan kelab serta badan beruniform yang sama. Kini, walaupun jarang berjumpa, ada ketikanya kami akan berhubung untuk bertanyakan perkembangan terbaru masing-masing.

Sewaktu di tingkatan empat dan lima, aku mempunyai kawan baru, Faizan, Farrahanna, Noraini dan Raidah merupakan 4 orang sahabat yang kekal bersamaku hingga kini. Sebenarnya mereka tidakla begitu asing buat diriku kerana mereka juga pernah sekelas denganku sewaktu di tingkatan 3. Kini, walaupun kami terpisah kerana haluan masing-masing, tetapi kami tetap berjumpa sekiranya cuti semester kerana mereka masih menuntut di UUM, UMT dan UiTM.

Tahun 2006-2007

Aku mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajianku ke Kolej Matrikulasi di utara Malaysia dalam program perakaunan. Walaupun pada mulanya berat untuk mak dan ayah melepaskan aku pergi kerana jaraknya yang jauh dan kami tidak mempunyai kenalan di sana, akhirnya aku berangkat juga ke sana. Sebenarnya aku tidaklah terlalu takut kerana salah seorang rakan kelasku sewaktu di tingkatan lima iaitu Wani, juga mendapat tawaran yang sama ke sana.

Di sana aku tinggal sebilik dengan Siti yang berasal dari Klang, Rai dan Yuni yang berasal dari Batu Pahat dan Kota Tinggi. Mereka agak gila-gila orangnya, aku yang agak kurang bercakap sering di usik oleh mereka, tapi aku tetap mendiamkan diri dan sekadar tersenyum dengan usikan mereka. Hingga mereka mengatakan yang aku ini seperti tiada perasaan. Tapi aku seronok bersama mereka selama setahun. Suka duka dijalani bersama, dan aku secara peribadinya sangat rapat dengan Siti kerana katil kami terletak di sudut yang sama.

Tahun Jun 2007-November 2009

Setelah tamat program matrikulasi selama setahun, aku mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaranku ke sebuah universiti awam di pantai timur. Memandangkan universiti tersebut terletak di kampung halaman ku, aku tidak begitu gementar, apatah lagi aku dapati rakan sekolej aku sewaktu di matrikulasi dulu turut mendapat jurusan pentadbiran perniagaan yang sama seperti aku.

Pada semester pertama dan kedua, aku dibolehkan untuk tinggal di asrama. Teman sebilik aku ialah Ida dan Kak Suriani, tetapi Kak Su kurang berada di bilik kerana selepas kelas dia akan pulang ke rumah ibu saudaranya yang hanya berdekatan dengan universiti kami. Selama setahun tinggal di asrama, kebanyakkannya kami hanya tinggal berdua di bilik kerana semasa semester kedua, salah seorang rakan kami tidak dapat meneruskan pengajian dan tinggallah kami berdua sahaja menginap tanpa pelajar baru yang dimasukkan ke bilik kami.

Selama tiga tahun pengajian, aku rapat dengan Ara, Kak Pa, dan Kak Syeila. Kami lebih banyak menghabiskan masa bersama, dan berkongsi pelbagai cerita suka dan duka. Tapi kini, semua itu sudah berlalu, kini kami masing-masing mengikut haluan sendiri. Ara dan Kak Syeila sudah berumah tangga, dan ketika aku mengarang kisah ini, Ara telah pun seminggu melahirkan cahaya mata perempuannya yang pertama. Begitu juga dengan Kak Syeila yang telah hamil, dan akan melahirkan anak pertamanya sekitar Januari. Aku dan Kak Pa pula sedang sibuk dengan kerja masing-masing dan kami sekadar bertanya khabar melalui telefon dan laman sosial.

Disember 2009-Sekarang

Pada tahun terakhir pengajian, aku perlu menghadiri latihan industri di organisasi pilihan yang telah dipilih oleh aku sendiri, ada beberapa tempat yang aku pilih untuk dihantar resume untuk membuat latihan industri, akhirnya aku memilih MSRD untuk latihan praktikal tersebut. Aku terpaksa menolak penerimaan daripada Rumbia Resort dan Sumai Hotel kerana kedudukannya yang jauh dari tempat tinggalku dan juga kerana mak tidak membenarkan aku untuk pergi ke tempat tersebut.

Jika diikutkan pada mulanya aku akan bersama-sama Ara untuk latihan praktikal di MSRD, tetapi memandangkan pada ketika itu dia baru sahaja berkahwin, dia terpaksa menjalani latihan praktikal tersebut di sebuah resort berdekatan kampung halaman suaminya. Teringat ketika hari pertama aku menjejakkan kaki ke MSRD, ayah menghantarku ke situ kerana aku tidak pernah menjejakkan kaki di situ. Di tambah pula dengan perasaan gementar kerana itu adalah kali pertama aku akan bekerja (tanpa gaji). Sampai sahaja di situ, ayah bertanyakan sesuatu kepada receptionist di situ, Linda yang juga merupakan pelajar yang membuat latihan praktikal di situ. Orang pertama yang berjumpa denganku ialah Pn Nana yang merupakan HR di situ ketika itu. Sebagai sesi pengenalan, dia menerangkan serba sedikit berkenaan apa yang bakal aku jalani dan mengenalkan kepada aku staf-staf yang lain.

Selama 4 bulan aku praktikal di situ dan bekerja bersama-sama Kak Su yang merupakan supervisor aku ketika itu, Bakri, dan silih berganti dengan Shazili dan Azmi. Aku gembira berada di situ dan akhirnya selepas tamat latihan industri, aku bekerja di situ (dengan gaji). Sesuatu yang aku tidak pernah alami sebelum ini, kini aku alaminya di tempat kerja aku. Aku gembira, sedih, benci dan perasaan lain yang turut bercampur baur apabila tiba pada satu-satu masa. Dan di sini juga aku menemui ‘sesuatu’ yang kini menyerikan hidup aku. Walaupun kini yang tinggal hanya kenangan, tetapi ia memberi seribu erti dalam kehidupan aku. Dan kini, aku masih di sini, selama mana yang aku mampu bertahan untuk aku berikan khidmatku.




No comments: